Tuesday, December 6, 2011

Dirimu ibarat permata yang berharga


Assalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Description: http://ibnismail.files.wordpress.com/2010/06/remaja.jpg?w=604

Sebagai seorang remaja yang merupakan harapan kedua ibu bapa, guru, masyarakat dan negara, seharusnya mempunyai sifat-sifat terpuji dan kepimpinan kerana mereka adalah pewaris khazanah alam ini suatu hari nanti.

Dirimu Permata Berharga.

wahai remaja
dirimu permata berharga
mewarisi khazanah alam ini
terbentang luas ciptaan-NYA


wahai remaja…
hiasilah hidupmu
dengan akhlak terpuji
penuhilah dirimu dengan ilmu pengetahuan


wahai remaja…
hindarilah hidupmu
daripada perbuatan dosa dan keji
yang menyesatkan dengan telunjuk syaitan


wahai remaja…
pamerkan dirimu
mengikut petunjuk kalam ILAHI dan Sabda Nabimu
nescaya selamat dunia akhirat


wahai remaja…
jika dirimu terlanjur dosa dan noda
insafi dan bertaubatlah kepada-NYA
kerana sesungguhnya dirimu permata berharga



Cara menghilangkan tekanan dan mengantuk


Di sini terdapat beberapa langkah senaman yang boleh menghilangkan rasa mengantuk dan tekanan. Kepada mereka yang selalu rasa mengantuk ataupun tengah mengalami tekanan, Sila ikuti dan lakukan senaman ini. Selamat Mencuba!!
LANGKAH 1
Ini adalah ala taichi sikit la… sebagai permulaan untuk memanaskan badan..
LANGKAH 2
Tiru la macam ni… untuk melegakan bahu dan leher anda..
LANGKAH 3
wa..wa..aaa
LANGKAH 4
Gerak kekanan kemudian ke kiri..
LANGKAH 5
Gerak ke kiri kemudian ke kanan. Ikut sahajalah… jangan terpusing kepala sudah la..
LANGKAH 6
Tepuk kuat kuat kat dahi.. Ini untuk menghilangkan mengantuk..
LANGKAH 7
Selepas itu buat gerakan tangan dan badan… buat macam gembira je..
LANGKAH 8
Kemudian goyang-goyangkan kaki dan badan sedikit… Lakukan seperti kita tiada masalah…
LANGKAH 9
Lakukan secara agresif pula… Jangan peduli apa orang lain kata..
LANGKAH 10
Hilangkan semua tekanan…
LANGKAH 11
pusingkan kepala…
LANGKAH 12
tengok muka kat cermin sambil goyang2.. lawa tak…
LANGKAH 13
Akhir sekali lakukan joget kucing…

Sunday, December 4, 2011

Nasihat LUQMAN AL-HAKIM tentang solat


LUQMAN al-Hakim menyuruh anaknya agar menunaikan solat sebagaimana wasiatnya: "Hai anakku! Dirikanlah solat."
  • ·         Luqman menyuruh anaknya agar menunaikan solat kerana solat merupakan fardhu yang diwajibkan oleh Allah SWT melalui utusanNya di bumi (dari kalangan Nabi dan Rasul).
  • ·         Selepas manusia ditegah dari melakukan syirik dan taat kepada Allah dan QudratNya yang tidak dapat ditandingi oleh sesiapa, datanglah arahan supaya beramal dengan amalan-amalan yang serasi dengan prinsip-prinsip tauhid, yang mana salah satu darinya adalah solat.
  • ·         Solat adalah tiang agama. Dalil keimanan dan keyakinan hamba terhadap Ilahi. Jalan mendekatkan diri kepadaNya dan membantu mencegah kemungkaran, kekejian dan mensucikan diri.
  • ·         Islam menggalakkan ibu bapa menyuruh anak-anak mereka agar menunaikan solat di kala menjelang umur 7 tahun (mumayyiz) dan memukul mereka sekiranya mereka meninggalkan solat ketika mencapai umur 10 tahun. Pada waktu ini, ibu bapa disuruh mengasingkan tempat tidur mereka.
  • ·         Ini adalah satu cara didikan Islam yang menyanggahi segala ideologi Barat yang salah. Pendidikan Barat tidak bersetuju dengan cara menakut-nakutkan (tarhib) dan tidak suka mengakuinya (sebagai suatu cara yang baik dan berkesan).
  • ·         Tetapi Allah SWT menyanggahi mereka dalam dasar demikian, di mana Dia menggalakkan para hambaNya dengan nikmat syurga dan menakutkan mereka dengan seksaan neraka. Orang-orang yang tidak berasa gembira menerusi ayat-ayat mengenai syurga, maka dia akan berasa gerun menerusi ayat-ayat mengenai neraka.

Friday, November 4, 2011



WUDUK

Ibadah wuduk memiliki kedudukan tersendiri di sisi Allah dan ia adalah kunci permulaan bagi ibadat solat. Wuduk juga berperanan untuk menenangkan jiwa supaya dapat menumpukan perhatian terhadap solat.
Selain itu, wuduk juga boleh menyegarkan badan serta mengembalikan tenaga dan pada masa sama menyucikan anggota badan yang terdedah. Ini menunjukkan wuduk mempunyai peranan penting dari segi spiritual dan fizikal.
Tatacara wuduk diperjelaskan berdasarkan hadis Rasulullah SAW merangkumi perkara sunat dan fardu contohnya bersiwak sebelum berwuduk, berniat dan menyebut nama Allah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada wuduk bagi orang yang tidak menyebut nama Allah padanya.”

CARA BERWUDUK

Wuduk adalah penting dan ada kaitannya dengan ibadah yang lain.
Wajib berwuduk ketika hendak mendirikan solat, menyentuh Al-Quran, tawaf, sujud tilawah dan sujud syukur.

Firman Allah yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman ! Apabila kamu hendak mengerjakan solat basuhlah muka kamu dan tangan kamu sehingga ke siku dan sapulah kepala kamu dan basuhlah kaki kamu sehingga buku lali."


Cara-cara Berwuduk

1. Membersihkan kedua belah tangan
2. Berkumur
3. Membersihkan hidung
4. Membasuh muka ( 3 kali ) dan niatkan dalam hati
"Nawaitu rafa'al hadathil asghari Lillahi Ta'ala" ertinya "Sahaja Aku mengangkat hadath kecil kerana Allah Ta'ala" atau "Nawaitu Udu'a Lillahi Ta'ala" bermaksud "Sahaja aku mengangkat wuduk fardu kerana Allah Ta'ala".
5. Membasuh tangan kanan dan tangan kiri hingga ke siku ( 3 kali )
6. Menyapu sebahagian kepala ( 3 kali )
7. Membasuh telinga kanan dan telinga kiri ( 3 kali )
8. Membasuh kaki kanan dan kaki kiri hingga ke buku lali ( 3 kali )


Tuesday, October 18, 2011

OH GURU....




Guru...
Kau umpama lilin yang sanggup membakar diri sendiri untuk menerangi setiap insan...
Guru menurut  perspektif Islam lebih tepat dikatakan sebagai “Da’i”, Daí berperanan sebagai pendakwah yang memperjuangkan nilai-nilai tertentu, yakni nilai-nilai Islam. Seorang guru berperanan penting dalam melaksanakan misi amar ma’ruf nahi munkar, maka ciri-ciri  khas seorang guru itu haruslah menyebarluaskan informasi tentang perintah dan larangan Allah SWT.  

Guru adalah manusia hebat kerana mampu menjadi ejen perubah masyarakat. Guru bukan sekadar menyampai ilmu..Malah membina ketrampilan diri yang unggul dan jitu.
Guru yang berkualiti sahaja mampu melahirkan pelajar yang berkualiti. Guru yang bagaimana dikatakan sebenar guru?? Harus difikirkan dengan penuh kesedaran….Kerana menjadi guru bukan suatu tugas yang mudah.
Ketabahan, keikhlasan, keyakinan dan pelbagai lagi cabaran rohani dan jasmani perlu disemai dan dipupuk dengan baja kewajaan…Fikir-fikirkanlah…
Wallahu A’lam…

DOA UNTUK PELAJAR


Doa Penerang Hati
Ya Allah kurniakanlah kami fahaman nabi-nabi dan hafalan para rasul, serta mendapat ilham daripada malaikat yang hampir denganMU, kurniakanlah kami kesihatan Ya Allah 

Yang Maha Pengasih dan Penyayang
Doa Mohon diberi kemudahan dalam belajar dan berfikir
Ya Allah tiada sesuatu yang mudah kecuali sesuatu yang Engkau jadikan mudah dan Engkaulah yang menjadikan yang susah itu mudah dengan kehendakMU

Doa Mohon diberi Kebijaksanaan
Ya Allah bukakanlah kami hikmatMU dan limpahkan kami rahmat dari perbendaharaan rahmatMU Ya Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang

Doa Mudah Faham dan Hafal
Ya Allah keluarkanlah aku dari kegelapan ragu-ragu, muliakan daku dengan sinaran kefahaman, bukakan bagiku pintu ilmu dan hiasilah daku dengan akhlak yang baik dan kasih sayang

Doa Mengingati Perkara yang lupa
Ya Allah aku mempertaruhkan kepada MU apa yang Engkau ajarkan kepadaku, kembalikanlah semula kepadaku apabila aku memerlukannya

Sebelum itu adalah lebih baik kita memuji Allah, berselawat, beristighfar dengan ikhlas dan yakin. Pilihlah waktu yg afdhal, menghadap kiblat dan merendahkan suara kita..InsyaAllah...~ Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hambanya

TIPS UNTUK CEMERLANG DAN PERSEDIAAN MENGHADAPI PEPERIKSAAN


1. Semak jadual
Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.
Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.

2. Kunci peperiksaan
Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.
Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.

3. Tentukan keutamaan
Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.
Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.

4. Banyak mengingat dan membuat kaitan
Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.
Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.

5. Merancang persiapan peperiksaan
Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.
a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.
Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.
Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.
Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.
Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.
Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.
Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.
Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.
b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.
Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.
Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.
Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.
Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.
Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel
Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.
Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.
c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.
Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.
Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.

6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan
Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.

7. Berdoa dan bertawakal
Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.
Itulah di antara tip-tip yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian dan meghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Di harap dengan panduan tip-tip di atas, pelajar-pelajar akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk menghadapi ujian itu nanti.