Dari Abu Bakrah ra., Dari Nabi s.a.w., sabdanya:
"Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang
yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga
golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang
kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa." (Al-Bazzar)
Hadis ini menyuruh supaya tiap-tiap seorang menentukan
sikapnya terhadap ilmu agama.
Huraiannya:
Tiap-tiap seorang dikehendaki menentukan sikapnya terhadap
ilmu pengetahuan agama dengan salah satu dari empat cara, iaitu menjadikan
dirinya orang alim yang mengajar atau orang yang belajar atau orang yang
mendengar syarahan-syarahan agama atau pun orang yang mencintai dan menghargai
salah satu dari tiga golongan yang tersebut dengan menurut jejak langkahnya.
Dengan sikap yang demikian, seseorang itu terjamin untuk
mendapat keselamatan dan kebahagiaan, sama ada dalam perkara jasmaninya mahu
pun rohaninya, kerana ia sentiasa dalam jagaan ilmu pengetahuan yang
memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk memilih yang
baik dari yang buruk dan yang hak dari yang batil.
Ada pun golongan yang kelima, iaitu yang tidak termasuk
dalam salah satu dari empat golongan yang tersebut, maka mereka adalah golongan
yang binasa, kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya mereka dapat
membezakan di antara yang benar dengan yang salah.
Imam Mawardi menyatakan: Bahawa orang yang menganggap ilmu
syarak itu tidak ada faedahnya dipelajari dan lebih baik sahaja ditinggalkan,
sebenarnya orang itu tenggelam dalam kesesatan dan jauh dan mendapat hidayat
pertunjuk, serta ia termasuk dalam golongan yang kelima yang binasa.
No comments:
Post a Comment